BINTULU, 22 Julai: Kira-kira 500 pengayuh tempatan dan warga asing dari sekitar Bintulu menyertai Fun Ride sempena Sambutan Hari Sarawak Ke-61 di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Datuk Dr Ripin Lamat berkata para pengayuh berkumpul seawal jam 7.00 pagi bagi menyertai acara kayuhan basikal yang bermula dari Dewan Suarah Bintulu dan berakhir di Tanjung Batu.
“Saya melihat program riadah yang dianjurkan begini amat sesuai dijadikan pengisian program bagi Sambutan Hari Sarawak kerana ia dapat dijadikan wadah untuk warga Bintulu beriadah dan pada masa yang sama mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas menyertai Fun Ride sejauh 15 kilometer.
Program dimulakan dengan acara senamrobik diketuai Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.