BINTULU, 22 Julai: Hasrat Sarawak menjadi pemain penting dalam industri metanol global kini menjadi realiti dengan perasmian Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.
Pelancaran kompleks bernilai RM7 bilion yang disempurnakan perasmiannya oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu diadakan ketika warga wilayah ini meraikan Hari Sarawak.

“Peristiwa pada pagi ini membawa pengertian yang cukup bermakna kepada Sarawak kerana ia suatu gambaran betapa kita berusaha untuk memberi nilai tambah berganda kepada sumber asli bumi Sarawak berbanding hanya mengeksport bahan mentah.
“Ia menjadi lebih bermakna lagi kerana dilakukan bersempena sambutan 61 tahun kita anak Sarawak diberi kuasa untuk menentu masa depan dan nasib kita sendiri apabila pihak British menyerahkan kuasa pentadbiran kepada orang Sarawak sendiri pada 22 Julai 1963,” katanya.
Abang Johari berkata kompleks yang dimiliki dan dikendalikan oleh Sarawak Petchem Sdn Bhd itu menandakan visi dan komitmen penuh Kerajaan Sarawak untuk meneroka industri petrokimia global.
Kompleks ini berupaya menghasilkan 1.75 juta tan metrik metanol setiap tahun.
“Dengan adanya Kompleks Metanol Sarawak ini, ia juga menandakan penerokaan Sarawak ke dalam industri petrokimia dan Sarawak sebagai pemain penting dalam pasaran metanol global.
“Dengan pencapaian ini, kita boleh berbangga bahawa Sarawak akan menjadi salah satu pengeluar metanol global, yang mampu menghasilkan sehingga 1.75 Juta Metrik Tan metanol setahun,” ujarnya. – TVS