KUALA LUMPUR, 22 Julai: Kerajaan akan melaksanakan kajian bagi mencari pendekatan terbaik menangani kes penipuan membabitkan kutipan derma, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu dilaksanakan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi – agensi terlibat.
Jelas beliau ketika ini pengawalseliaan berkenaan dengan amanah dilaksanakan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) dan Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208).
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri cakna tentang terdapat keperluan mendesak bagi pindaan dibuat supaya kedua-dua undang-undang ini selari dengan peredaran masa dan keperluan semasa,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Azalina menjawab soalan Datuk C. Sivaraj yang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana komitmen kerajaan dalam menggubal penubuhan suatu Charities Commission seperti di United Kingdom bagi mengawal selia hal ehwal berhubung khairat di Malaysia termasuk pemantauan terhadap dana-dana yang dikumpulkan oleh pertubuhan-pertubuhan khairat dari orang awam.
Sementara itu beliau turut memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian kewajaran cadangan penggubalan Akta Khairat atau Charities Act dan penubuhan Suruhanjaya Khairat atau Charities Commission di Malaysia.
“Jawatankuasa Kajian Kewajaran Penggubalan Akta Khairat dan Kewajaran Penubuhan Suruhanjaya Khairat di Malaysia (JKAK) ini telah ditubuhkan pada 6 Mei 2024 dan harapannya kajian yang bermula pada 6 Mei 2024 ini dijangka selesai pada pertengahan September 2024,” katanya.
Kepada soalan tambahan Datuk Mujahid Yusof Rawa yang ingin tahu jumlah kes penipuan kutipan derma, Azalina memaklumkan pihaknya tidak mendapat laporan terus daripada mangsa.
“Yang dapat laporan hanya agensi seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“(Apa) yang berlaku sekarang, dia (penipu) guna online scamming, maaf cakaplah, muka baik, duit dia ambil, cakap untuk Palestin, untuk Gaza tiba-tiba beli kereta itulah, nama hebat orang tak sangka dia scammer,” katanya.
Sehubungan itu Azalina memaklumkan pindaan terhadap dua akta sedia ada itu sekiranya diluluskan kelak akan membolehkan setiap transaksi yang didermakan boleh dipantau dengan lebih ketat. -TVS