KUALA LUMPUR, 22 Julai: Penyertaan Malaysia dalam kesatuan ekonomi yang dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) tidak akan menyebabkan negara berdepan dengan ancaman negara kuasa besar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana Malaysia kekal mengamalkan prinsip keterbukaan dalam aspek ekonomi iaitu bersedia berdagang dengan mana-mana negara.
Jelas beliau tidak timbul juga soal Malaysia akan bergantung kepada ekonomi China hanya kerana negara menyertai BRICS.
“China merupakan dagang terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut dan menyumbang lebih kurang 17 peratus kepada keseluruhan jumlah perdagangan negara.
“Pada masa sama, Malaysia mengamalkan prinsip keterbukaan untuk berdagang dengan mana-mana negara, kecuali yang bertentangan dengan perundangan antarabangsa,” katanya pada Sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris yang ingin mengetahui impak penyertaan Malaysia bersama BRICS terutama dalam hal-hal yang melibatkan tuntutan bertindih seperti Laut China Selatan.
Sementara itu Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah berhubung penyertaan dalam BRICS.
“Pendekatan ini adalah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung.
“Ini adalah antara sebab utama Malaysia bukan sahaja mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di mana Malaysia boleh memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini tambah Tengku Zafrul Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam pelbagai organisasi antarabangsa termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya.
Sebelum ini, hasrat Malaysia menyertai BRICS telah dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menyatukan negara-negara membangun, mengurangkan dominasi Amerika Syarikat dan negara-negara Barat (G7), sekali gus memberi saingan kepada kuasa politik dan ekonomi Barat. -TVS.