KUALA LUMPUR, 22 Julai: Dewan Negara dimaklumkan seramai 121 000 belia berusia 17 tahun akan terlibat dengan fasa asas Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu seramai 96,000 peserta akan dilatih di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik.
“Seramai 26,000 (pula) akan dilatih di kem tentera wataniah.
“Fasa ini juga tidak melibatkan keseluruhan belia berumur 17 tahun tetapi mereka dipilih secara rawak,” katanya pada Sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau yang ingin tahu sama ada keseluruhan pelajar berusia 17 tahun akan terlibat dan sejauh mana sesi libat urus dilaksanakan dengan kementerian terlibat untuk memastikan program berkenaan kekal relevan.
Mengulas lanjut, Mohamaed Khaled berkata, pemilhan peserta dilakukan secara rawak dan antara yang akan diteliti termasuklah tahap kesihatan bakal peserta.
“(Selain itu kita juga) akan lihat status persekolahan sama ada bersekolah atau tidak dan rekod jenayah, kemudian lakukan pemilihan.
“Bagi peserta dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pula, mereka akan teruskan dengan latihan yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita harap dapat sokongan rakyat untuk memastikan pembinaan negara bangsa (berjaya),” katanya.
Kepada soalan asal Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu rasional meletakkan modul latihan ketenteraan sebanyak 70 peratus dan modul kenegaraan hanya 30 peratus dalam PLKN, Mohamad Khaled berkata, keputusan itu dilakukan berasaskan kepada dapatan libat urus dengan pelbagai pihak.
“(Mereka) memberi maklum balas tentang sikap dan perilaku golongan muda masa kini yang dilihat perlu untuk dibentuk dengan nilai-nilai keutuhan diri yang lebih meluas dan tegas.
“(Selain itu) kita juga berhasrat menjadikan PLKN yang baharu ini sebagai satu medium mendedahkan tentang realiti serta keistimewaan kerjaya pertahanan.
Beliau turut memaklumkan pengisian PLKN baharu yang mencakupi 70 peratus latihan asas ketenteraan itu turut menekankan aspek-aspek disiplin diri.
“Ia ia secara asasnya tidak merujuk kepada latihan ketenteraan yang bersifat intensif seperti yang diberikan kepada anggota tentera yang sebenar sebaliknya, modul ini menekankan aspek-aspek seperti disiplin diri yang merujuk kepada pengurusan masa, kebersihan, kepatuhan kepada peraturan, keupayaan untuk melakukan tugasan dalam berkumpulan serta ketahanan dalam melakukan sesuatu tugasan secara bertanggungjawab,” katanya. -TVS.