BINTULU, 22 Julai: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan rakyat di negeri ini agar menghargai sejarah kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 serta peranannya dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
Tegas Awang Tengah, tarikh tersebut amat penting untuk memastikan semangat kemerdekaan Sarawak dari penjajahan British terus dihargai oleh generasi muda.
“Hari ini diraikan sebagai cara kita untuk menunjukkan penghargaan kita terhadap perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu serta signifikannya pengorbanan ini terutama kepada generasi muda yang bakal menjadi tonggak untuk meneruskan perjuangan kita.
“Kita mahu generasi sekarang dan baharu ini kelak faham apa sebenarnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga inti pati hasil laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Townhall bersempena Sambutan Perayaan Hari Sarawak Ke-61 di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, Sarawak akan terus komited untuk meneruskan tuntutan hak-hak Sarawak yang mungkin terhakis, sesuai dengan MA63 untuk memastikan agar negeri ini memperoleh semua hak sepatutnya.
Kepimpinan Sarawak yang bersilih ganti bermula dari kabinet pertama Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sehingga kini, telah banyak membawa pelbagai bentuk pembangunan dan kemajuan kepada rakyat serta negeri ini.
Awang Tengah turut berharap agar penduduk berbilang kaum di Sarawak akan terus hidup secara harmoni dan bersatu padu ke arah Sarawak yang lebih maju dan makmur dib awah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sesi Townhall yang dipengerusikan Pengarah UPM Kampus Bintulu, Profesor Dr Shahrul Razib Sarbini itu turut dihadiri 1,500 peserta yang terdiri daripada pemimpin negeri, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum serta para pelajar sekolah dan universiti. – TVS