KUALA LUMPUR, 22 Julai: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara hari ini.
Pencalonan beliau dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, Awang Bemee merupakan tokoh yang dihormati dan berpengalaman luas dalam bidang perundangan selain pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998.
“Beliau merupakan anak jati Sarawak (serta) pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak sejak 1984 dan juga mengendalikan beberapa kes peringkat mahkamah termasuk di Mahkamah Persekutuan.
“Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat, jika dipilih,” katanya ketika mengusulkan perlantikan berkenaan.
Cadangan itu disokong oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed kemudian memasyurkan Awang Bemee sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
Pada 15 Julai lepas, Awang Bemee mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara atas cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Susulan perlantikan ini, Awang Bemee yang juga bekas ADUN Nangka selama tiga penggal itu menjadi rakyat Sarawak yang keempat memegang jawatan berkenaan selepas Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen (1988-1990), Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar( 19 Jun 2023 – 19 Januari 2024) dan Mendiang Datuk Mutang Tagal. -TVS.