Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof menyempurnakan simbolik pecah tanah PLSB Sungai Sarawak Pakej 3. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Projek PLSB Sungai Sarawak Pakej 3 telan kos RM41.96 juta, tangani isu bencana banjir di Kuching

ByMuqri Aziz

KUCHING, 21 Julai: Pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak (Pakej 3) yang menelan belanja RM41.96 juta diharap dapat mengatasi masalah banjir kilat di Bandaraya Kuching.

Pakej tiga itu akan melibatkan tiga buah projek iaitu rancangan tebatan banjir Sungai Gersik, rancangan tebatan banjir Sungai Sinjan serta mendalamkan dan melebarkan Sungai Tengah dan Sungai Minjap, Matang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut dijangka siap pada 20 Mei 2026.

“Jadi, projek ini diharapkan dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan berkenaan kerana jika dilihat di kawasan Taman Malihah contohnya adalah merupakan kawasan yang kerap berlakunya banjir.

“Jika di kawasan Parlimen Petra Jaya, kawasan yang kerap banjir ialah di Kampung Gita, Kampung Tunku dan sekitarnya. Jadi, kalau kita dapat selesaikan masalah ini, maka kita dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak (Pakej 3) di Dewan SK Tan Sri Datuk Hj Mohamed, Matang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan akan terus mencari dana untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di kawasan-kawasan yang lain termasuk kawasan hakisan pantai di wilayah ini.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak hampir RM300 juta untuk menaik taraf sistem saliran air dan tebatan banjir di Sarawak melalui Rolling Plan keempat (RP4 2024) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sebelum ini, dua pakej serupa telah dilancarkan yang melibatkan sembilan lokasi di Kuching dengan pakej pertama melibatkan Sub Lembangan Sungai Kuap dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Muara Tuang Park, Taman Univista dan Unisquare dan Tabuan Dayak.

Manakala PLSB Sungai Sarawak Pakej 2 yang melibatkan kawasan Hospital Umum Sarawak (HUS), Lintang Park dan Kuarters Kerajaan, Kuching juga telah dimulakan pada Mei 2024 dan dijangka siap pada 2026.

Keseluruhannya, ketiga-tiga projek berkenaan menelan kos sebanyak RM191 juta atas dasar keprihatinan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan