BINTULU, 21 Julai: Persiapan bagi Sambutan Hari Sarawak 2024 yang akan disambut esok (22 Julai 2024) di Lapangan Terbang Lama Bintulu berjalan lancar.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, keterujaan sambutan kali ini dirancakkan lagi dengan penganjuran Agrofest 2024 Sarawak bertempat di Lapangan Terbang Lama Bintulu.
“Persembahan khas teater muzikal daripada Pantomin Muzikal Sarawak Maju Makmur yang menampilkan para pelakon seperti Azam Pitt dan Anding Indrawani dan persembahan artis tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Bob Yusof, Melissa Francis, Roxy Ixzy, Sulaiman Usop, Daus Eli, dan Chien Ng bakal memeriahkan lagi sambutan tahun ini,” katanya ketika ditemui media semasa menghadiri majlis raptai penuh sambutan Hari Sarawak 2024 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam Sabtu.
Turut hadir menyaksikan majlis raptai penuh ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti.
Jelas Dr Rundi yang juga Menteri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2024, sambutan Hari Sarawak 2024 yang bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’ juga akan memberi pendedahan kepada masyarakat umum berkaitan arus pembangunan yang ketara dilihat di sekitar Bintulu.
“Banyak pembangunan yang dapat kita lihat dari segi sosioekonomi tempatan, industri minyak dan gas (O&G) dan sebagainya di sini.
“Dengan perkembangan positif ini sudah tentu rakyat di Bintulu khasnya dan rakyat Sarawak amnya sedia dan bersemangat untuk meraikan Hari Sarawak 2024,” jelasnya.
Malam kemuncak pada 22 Julai ini akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.