Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Orang ramai zahir rasa teruja sambut Hari Sarawak 2024

ByWilly Jali

KUCHING, 21 Julai: Sambutan Hari Sarawak ke-61 tahun yang akan diadakan di Bintulu esok hari pastinya meriah dengan pelbagai pengisian aktiviti yang bakal mewarnai sambutan itu.

Sambutan kali ini yang bertemakan Sarawak Maju Makmur dijangka bakal dihadiri ribuan pengunjung di bandar ini yang menantikan warna-warni acara yang bakal berlangsung.

Tinjauan TVS di sekitar Bandaraya Kuching mendapati penduduk setempat amat teruja dengan sambutan kali ini yang disifatkan istimewa kerana bahagian itu terpilih buat kali kedua sebagai tuan rumah sambutan Hari Sarawak sejak 2019.

Menurut seorang penjawat awam, Muhammad Zakaria Ashmat, 40, Hari Sarawak yang diadakan esok hari adalah salah satu cara memperingati perjuangan orang-orang zaman dahulu untuk memerdekakan Sarawak dan membangunkan negeri Sarawak dengan cara sendiri.

“Kita harus memperingati pejuang- pejuang dahulu yang telah memerdekakan Sarawak kerana mereka bertungkus-lumus untuk memastikan Sarawak mentadbir negeri mereka sendiri.

“Perasaan saya semestinya gembira sebab pada tarikh 22 Julai ini kita dapat sentiasa memperingati Hari Sarawak dan berharap Sarawak akan maju makmur di bawah pempimpin Premier Sarawak,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang pelajar, Muhammad Aiman, 21, sebagai golongan belia, dia mengakui bahawa Hari Sarawak penting bagi mengenang jasa tokoh terdahulu.

“Sebagai belia pentingnya untuk kita memperingati kemerdekaan negeri kita Sarawak bagi mengenang jasa-jasa tokoh terdahulu yang pernah memperjuangkan kemerdekaan negeri kita pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Turut senada dengan Aiman, seorang pekerja swasta, Floren Phua Giok Fong, 24, yang berpendapat bahawa Hari Sarawak adalah penting bagi mengingati wira-wira yang pernah memperjuangkan kemerdekaan Sarawak.

Dalam pada itu, bagi seorang suri rumah, Christina Mayang, 56, pula, perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan wilayah Sarawak yang terus maju serta bersatu padu dalam pelbagai agama, kaum dan bangsa.

“Saya bangga jadi anak Sarawak kerana dalam Sarawak ini pelbagai kaum, bangsa dan agama yang bersatu padu. Oleh sebab itu saya bangga menjadi anak Sarawak.

“Harapan saya agar negeri Sarawak ini terus maju jaya serta bersatu padu dalam pelbagai agama, kaum dan bangsa,” ujarnya.

Christina menjelaskan, semua rakyat Sarawak perlu mengambil bahagian dalam sambutan yang akan diadakan esok.

Sambutan Hari Sarawak 2024 yang akan diadakan di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada 22 Julai ini akan menyaksikan pelbagai acara yang dianjurkan.

Antaranya, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Fun Ride dan Sesi Townhall Hari Sarawak 2024.

Ia juga turut akan menampilkan aktiviti seperti persembahan khas teater muzikal daripada Pantomin Muzikal Sarawak Maju Makmur, persembahan khas dari artis-artis tempatan dan banyak lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan