BINTULU, 21 Julai: Status kemajuan projek Jambatan Bintulu-Jepak kini adalah sebanyak 82 peratus dan dijangka siap mengikut jadual.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia dijangka akan dibuka kepada umum pada Februari tahun depan.

“Saya telah diberi penerangan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan saya gembira akan kemajuan projek. Kami berharap ia akan dapat dibuka kepada umum pada Februari 2025.
“Walaupun terdapat beberapa isu yang dihadapi namun pihak kami berjaya menyelesaikannya. Semua pihak telah menjalankan tugas dengan baik termasuk pihak kontraktor dan JKR. Jambatan ini merupakan kebanggaan Sarawak kerana ia antara jambatan-jambatan yang kita bina di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika mengadakan lawatan kerja bersama JKR di Jambatan Bintulu-Jepak di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai projek Jambatan Sebauh pula beliau berkata, setakat ini projek tersebut telah mencapai 20 peratus.
Meskipun sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit namun ia diyakini mampu siap mengikut jadual setelah kontraktor penyelamat dilantik. – TVS
