KUCHING, 21 Julai: Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 mengajak semua lapisan masyarakat menyertai Pertandingan Fotografi dan Videografi sempena SUKMA 2024 yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos.
Menurut sekretariat, RM15,250 wang tunai menanti untuk dimenangi menerusi kategori Terbuka Foto, Belia Foto dan Video.
Bagi kategori terbuka, orang ramai boleh menghantar gambar suasana semasa SUKMA termasuk aksi atlet, gelagat penonton dan penyokong serta gerai jualan.
Sementara bagi Kategori Belia, ia terbuka kepada pelajar sekolah, kolej dan universiti.
Kategori video merupakan kateori yang paling menarik yakni peserta boleh menghantar seberapa banyak video yang telah disiarkan di Facebook dan TikTok.
“Setiap video diwajibkan meletak tanda pagar #sukmasarawak2024 dan juga menghantar video mereka ke borang yang telah disediakan,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi menghargai sumbangan media massa yang akan membuat liputan sepanjang SUKMA, pihak sektariat juga mengadakan pertandingan khas untuk media sahaja iaitu ‘Article & Photo Of The Day’.
Ia menawarkan hadiah keseluruhan RM2,000 kepada para pemenang.
Artikel serta gambar yang telah disiarkan secara automatik dicalonkan untuk memenangi anugerah tersebut.
Bagi jurugambar pula digalakkan untuk menghantar gambar mengikut borang yang disediakan untuk menyertai pertandingan foto kategori terbuka.
Borang penyertaan dan syarat pertandingan boleh diperolehi dengan mengimbas kod QR di dalam infografik tertera.