Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Festival makanan bukan punca utama masalah obesiti – Lukanisman

MIRI, 21 Julai: Penganjuran festival makanan tidak seharusnya dilabel sebagai punca utama kepada masalah obesiti yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, masyarakat seharusnya mengamalkan disiplin cara pengambilan makanan secara sihat bagi mengawal masalah berat badan mereka.

“Kita tidak boleh meletak penganjuran festival makanan sebagai punca kerana ini lebih kepada budaya hidup atau pun disiplin cara pengambilan makanan yang terbaik.

“Kami di sini akan memberikan tips pemakanan, contohnya kalau berlaku festival makanan setiap bulan, jika kita mengamalkan seperti hanya cukup sekadar merasa dan menikmati, itu yang terbaik.

“Tetapi sekiranya setiap bulan ada festival, setiap bulan juga kita makan secara berlebihan, sudah pasti kalori dan berat badan kita bertambah. Itu adalah literasi yang kita hendak bawa kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Kembara Sihat Sejahtera Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI) Bersama Didi And Friends Peringkat Zon Sarawak di sebuah pusat beli-belah pada Ahad.

Katanya, di kawasan bandar dan luar bandar, dengan kanak-kanak lebih menggemari makanan segera atau snek sekali gus kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Masalah ini perlu diberikan perhatian kerana ia berupaya memberi kesan kepada kesihatan mereka dengan mendedahkan mereka kepada risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang secara tidak langsung akan memberi kesan kepada produktiviti ekonomi pada masa akan datang.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022, satu daripada tiga remaja mempunyai berat badan berlebihan dan obes, dan empat daripada lima remaja tidak makan buah dan sayur secukupnya.

Dalam pada itu, KKM juga komited dalam usaha meningkatkan lagi jumlah pakar kesihatan kanak-kanak untuk berkhidmat di Sarawak bagi memberi rawatan yang lebih komprehensif kepada mereka.

“Ketika ini kita mempunyai lima orang doktor pakar kanak-kanak yang kita rasa buat masa ini mencukupi buat Bandaraya Miri.

“Pembukaan Bangunan Blok B Hospital Miri itu juga merupakan salah satu usaha di mana kita mewujudkan wad kanak-kanak yang lebih komprehensif dan kita mempunyai usaha untuk meningkat lagi kapasiti bukan hanya sekadar pakar kanak-kanak, tetapi juga kepakaran yang lain untuk di Sarawak,” katanya.

Menurutnya juga, pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang telah diluluskan baru-baru ini di Dewan Rakyat akan membantu menyelesaikan masalah pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar dan memudahkan peningkatan jumlah kepakaran yang diperlukan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan