MIRI, 21 Julai: Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada keluarga arwah Nur Farah Kartini Abdullah bagi membantu meringankan sebarang keperluan dan urusan berkaitan.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya di peringkat Parlimen sudah pun menyalurkan bantuan berkenaan kepada keluarga Allahyarhamah.
“Berkenaan kes arwah Nur Farah Kartini, kami di peringkat Ahli Parlimen dan juga rakan Parlimen seperti saya dan Ahli Parlimen Miri, telah pun menyalurkan bantuan secara peribadi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri telah datang berjumpa dengan keluarga.
“Kita juga telah memaklumkan kepada keluarga sekiranya memerlukan sebarang bantuan, kita akan salurkan. Terutama sekali kepada hal-hal berkaitan urusan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Kembara Sihat Sejahtera Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI) Bersama Didi And Friends Peringkat Zon Sarawak di sebuah pusat beli-belah pada Ahad.
Pihak KKM juga katanya, bersedia menawarkan perkhidmatan kaunseling psikososial dan pascatrauma supaya mereka dapat membantu menenangkan keluarga arwah.
Lukanisman juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Hospital Sungai Buloh dan alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah pun menguruskan kediaman dan perjalanan untuk ibu dan abang kepada arwah.
Beliau berharap kes ini dapat diselesaikan sebaik mungkin bagi memberi keadilan kepada arwah tersebut. – TVS