SIBU, 21 Julai: Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song 1 di sini, terbakar petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam
4.15 petang dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Song ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan asrama lelaki dua tingkat jenis kekal yang terbakar di tingkat atas.
“Peratusan kebakaran adalah 60 peratus. Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki dua nozel air dari pam pili bomba dan satu aliran hos salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika kejadian terdapat empat warden asrama lelaki dan dua pelajar dalam asrama berkenaan.
“Bagaimanapun, mereka berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian ini,” katanya.
Katanya, setelah mendapati keadaan terkawal dan tiada lagi punca api, pihak bomba bertolak balik ke balai. – TVS