MUKAH, 20 Julai: Pesta Kaul Mukah diakui sebagai platform kepada masyarakat tempatan merebut peluang bagi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasrat berkenaan dilaksanakn dengan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung yang datang sama ada tempatan mahupun luar negara.
Menurut beliau sektor pelancongan merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sehubungan itu, penduduk tempatan perlu merebut dan menggunakan peluang itu dengan sebaiknya-baiknya.
“Warga tempatan perlu memanfaatkan peluang ini kerana ia mampu membantu menjana pulangan yang lumayan.
“Kita (Kerajaan Sarawak) mensasarkan pada masa akan datang, akan ada lebih ramai pengujung dari luar kawasan Mukah datang ke acara ini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Majlis Perasmian Pesta Kaul Mukah di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yaakub Arbi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan jutaan ringgit dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk menggalakkan kehadiran pengunjung luar ke Mukah.
“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang terkini, naik taraf jalan raya dan menyediakan pelbagai geran, antaranya Geran Sokongan Penganjuran Acara, Pesta, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkaitan pelancongan, kesenian dan kebudayaan Sarawak,” ujarnya.
Menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu, pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung yang akan berkunjung ke Kaul Mukah dan acara-acara lain yang dianjurkan di bahagian ini,” katanya. – TVS