JAKARTA, 20 Julai: Sebuah helikopter Bali Heli Tour Bell 505 yang dipercayai tersangkut pada tali layang-layang terhempas di Kuta Selatan di Badung, Bali pada Jumaat.
Helikopter dengan pendaftaran PK-WSP ketika itu dilaporkan membawa lima individu terdiri daripada dua rakyat Australia dan tiga warga tempatan.
Menurut jurucakap Direktorat Jenderal Penerbangan Awam Indonesia, Mokhammas Khusnu, selepas Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Denpasar tiba di lokasi helikopter itu terhempas, mendapati terdapat seutas tali layang-layang yang menjerat pemutar utama helikopter.
“Selepas siasatan awal, ternyata terdapat tali yang menjerat dan disyaki daripada layang-layang di kawasan laluan penerbangan helikopter itu,” katanya.
Beliau menyebut pihaknya akan melakukan pengawasan lebih intensif dan mengadakan kempen bahaya layang-layang melalui penyelarasan dengan Gabenor dan Ketua Wilayah di wilayah Bali, agar tidak membahayakan keselamatan penerbangan.
Bagaimanapun, siasatan lanjut telah dijalankan oleh pejabat pihak berkuasa Lapangan Terbang Bali dengan menghantar pasukan penyiasat ke tempat kejadian.
Susulan insiden itu tiga daripada mangsa cedera dan dikejarkan ke hospital manakala dua lagi disahkan selamat. – TVS