KUCHING, 20 Julai: Celik budaya merupakan salah satu intipati penting membentuk generasi baharu yang berdaya saing untuk membantu membangunkan negara serta negeri ini.
Presiden Management and Science University (MSU), Profesor Tan Sri Dato Wira Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, penganjuran MSU Sarawak Ethnic Festival (Sarathnic Fest) 2024 adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Keempat yang mensasarkan penyediaan pendidikan berkualiti untuk melahirkan graduan yang kompetitif serta berkualiti tanpa melupakan nilai budaya yang membentuk jati diri individu.
“Penganjuran program pada tahun ini oleh MSU menerusi MSU College Sarawak ini adalah untuk memperkasakan dan melestarikan serta untuk memastikan pelajar-pelajar dan masyarakat setempat untuk lebih celik budaya kerana ini amat penting untuk membina masyarakat yang berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada MSU Sarawak Ethnic Festival (Sarathnic Fest) 2024 di Kuching pada Sabtu.
Mohd Shukri berkata, institusi pendidikan juga perlu kreatif dalam menerapkan elemen kebudayaan serta warisan agar ia menjadi satu wadah dalam melestarikan budaya tempatan.
Pada masa sama ia turut berfungsi sebagai elemen yang menjurus kepada usaha pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.
Seramai 300 pelajar dari 13 buah sekolah menengah sekitar Kuching menyertai aktiviti yang dianjurkan dan ini termasuklah pertandingan tarian kebudayaan pada Sarathnic Fest 2024.
Hadir sama Pengetua Kolej MSU Sarawak, Siti Rohaya Mahmud dan Ketua Jabatan Akademik MSU Sarawak, Syarifah Hasbollah. -TVS