MUKAH, 19 Julai: Usaha tidak mengkhianati hasil, begitulah pegangan Catherine Budin yang tidak berputus asa mengejar impian bergelar ratu ‘Teluwaih Jinih’ Mukah (ratu cantik) apabila dinobatkan juara pada edisi kali ini selepas tiga kali mencuba nasib sejak 2017.
Gadis berusia 26 tahun dari Dalat itu mengakui kegagalan lalu banyak mengajarnya untuk kembali bangkit memburu gelaran yang diimpikan setiap gadis Melanau.
Menurutnya, kekangan masa disebabkan bekerja sebagai kerani tidak menghalang dirinya memberikan yang terbaik sekali gus berjaya merangkul anugerah itu mengetepikan 15 peserta lain.
“Saya mahukan gelaran ini sebab saya nak tarik lebih ramai lagi gadis Melanau untuk sertai pertandingan ini kerana saya tahu ramai yang nak sertai, tapi kurang yakin. Saya nak bantu mereka bina keyakinan dan sahut cabaran ini.
“Kalau saya tiga kali mencuba boleh berjaya, mengapa tidak mereka yang di luar sana? Selain itu, saya juga mahu mereka sertai pertandingan ini untuk lebih mengenali dengan lebih mendalam akan budaya dan adat Melanau yang sebenar,” katanya ketika ditemui TVS di Pertandingan Teluwaih Jinih sempena Pesta Kaul Mukah 2024 di Pantai Kala Dana, pada Khamis.
Kemenangan itu menyaksikan Catherine membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sebuah piala dan mahkota kejuaraan.
Tempat kedua pula dimenangi Emassuria Scholyend Samsuhidi dari Mukah yang membawa pulang RM2,000 beserta piala, manakala Intan Hayani berpuas hati di tempat ketiga dengan RM800.
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine. – TVS