KUALA LUMPUR, 19 Julai: Kerjasama strategik dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diyakini akan membuka peluang unik kepada Sarawak untuk meneroka sektor berimpak tinggi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, potensi itu boleh dicapai khususnya dalam enam sektor utama membabitkan pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan.
Berkenaan dengan usaha Sarawak meningkatkan pegangan saham tambahan dalam Affin Bank menerusi LTAT, Abang Johari berkata, kedua-dua pihak akan meneruskan perjanjian jual beli setelah mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan.
Proses jual beli saham Affin Bank kepada Sarawak selesai bulan depan – Abang Johari
“Sarawak percaya Affin Bank boleh mendapat akses kepada rangkaian di Sarawak yang lebih luas (sekaligus) memanfaatkan keupayaan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik membabitkan Kerajaan Sarawak dengan LTAT di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar mewakili Kerajaan Sarawak manakala Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi menandatangani bagi pihak lembaga itu.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu kata Abang Johari, Affin Bank juga boleh mengembangkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta meningkatkan inisiatif pembiayaan mampannya di bawah Pelan Hala Tuju ESG lima bank itu.
Proses jual beli saham Affin Bank kepada Sarawak selesai bulan depan – Abang Johari
“Sarawak mempunyai beberapa inisiatif hijau dan saya percaya terdapat peluang untuk Affin Bank mengambil bahagian.
“Sudah tentu, Affin Bank boleh mengembangkan pangkalan pelanggan runcitnya kerana terdapat potensi yang belum diterokai dalam pasaran di Sarawak,” katanya.
Tambah Abang Johari, bank perdagangan itu juga boleh meneroka sektor lebih luas antara lain dengan mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital di Sarawak.
“Selain itu, Affin Bank boleh menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menyediakan akses kepada pembiayaan mampu milik,” ujarnya.
Beliau menambah, sinergi itu akan mengukuhkan kedudukan Affin Bank sebagai antara pemain utama industri kewangan di Malaysia. – TVS