KUCHING, 19 Julai: Memantau dan mengurus penggunaan elektrik sendiri, itu antara kelebihan meter pintar Sarawak Energy Berhad (SEB) yang kini dipasang secara berperingkat.
SEB menerusi kenyataan berkata meter pintar tersebut mampu menghantar bacaan secara elektronik dan tidak lagi memerlukan bacaan secara manual seperti meter konvensional.
“Penggunaan meter pintar ini juga akan memudahkan ketepatan masa pengebilan, pengesanan dan pemulihan gangguan yang lebih pantas serta pemantauan kualiti bekalan tenaga yang dipertingkatkan,” katanya.
Sebarang tunggakan yang dikeluarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan keabnormalan yang dikesan pada meter.
“Bukti keabnormalan tersebut akan diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan akan dijelaskan kepada pelanggan untuk rekod mereka,” ujarnya.
Penukaran meter pintar adalah percuma.
Setakat ini, lebih 80,000 meter pintar telah dipasang di seluruh Sarawak terutamanya di bandar-bandar utama.
Sehubungan itu, SEB menyasarkan untuk memasang 180,000 meter pintar di Kuching menjelang 2026.
Sebanyak 200,000 meter pintar disasar untuk dipasang di Sibu, Miri dan Bintulu menjelang 2029.
Pelanggan digalakkan membuat janji temu untuk penggantian meter bagi memastikan mereka dapat hadir semasa proses pemasangan.
Untuk maklumat lanjut atau untuk menjadualkan janji temu penggantian meter, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB di 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com atau berbual secara dalam talian dengan ejen maya CARINA. – TVS