KUALA LUMPUR, 19 Julai: Kejayaan bergelar juara remaja dunia pada hari lahir semalam menjadi kenangan manis dalam karier sebagai atlet boling, kata Nur Hazirah Ramli.
Remaja berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata lebih istimewa dia bersama Adelia Nur Irwan Syazalee, Anis Hannani Romzi dan Adania Mohd Redzwan turut mencipta sejarah menjadi pasukan Malaysia pertama menang emas acara itu sejak kejohanan diperkenalkan pada 1990.
“Pingat emas ini sangat istimewa kerana dimenangi pada hari lahir saya. Ia memberi kepuasaan kerana dapat mencapai matlamat ditetapkan sebelum terbang ke Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Malaysia ketingggalan pada awalnya kepada Singapura namun bangkit untuk mencatatkan 221 pin berbanding 211 pada aksi akhir di Pusat Boling Fiesta.
Permainan kedua pula menyaksikan penguasaan penuh Nur Hazirah dan rakan sepasukan yang melakukan hayunan cemerlang menjatuhkan 236 pin berbalas 190 oleh lawan mereka.
Pingat emas semalam juga adalah yang pertama untuk Malaysia selepas kali terakhir menang pada 2018 menerusi Nur Syazwani Sahar.
Malaysia mara ke final selepas menewaskan Colombia 3-2 pada separuh akhir manakala Singapura menyingkirkan Norway 2-0.
Pada Rabu, Nur Hazirah turut menang pingat gangsa bagi acara berpasukan campuran.
Ditanya perasaan sebelum final, Nur Hazirah berkata perasaan gementar tetap wujud namun dia dan rakan – rakan perlu bertenang sebelum melakukan balingan.
“Kami yakin untuk menang walaupun sedar tentangan sengit yang bakal diterima.
“Apabila bertarung dalam kejohanan yang disertai oleh pemain yang memiliki kebolehan yang setaraf, kesesuaian bola dan taktik balingan akan memberi kelebihan.
“Semalam kami berjaya membaca keadaan lane lebih pantas berbanding lawan, oleh itu reaksi bola Malaysia lebih padu untuk menjatuhkan pin dan berhasil mendapatkan sambungan strike yang banyak,” katanya.
Sementara itu Nur Hazirah mengakui dia tidak sabar untuk pulang mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bulan depan.
Jelasnya, SUKMA merupakan satu lagi kejohanan penting dan menyifatkannya setaraf dengan kejohanan remaja dunia.
“Kejohanan remaja dunia tahun ini merupakan penampilan terakhir saya kerana selepas ini tidak boleh bertanding disebabkan faktor umur, begitu juga dengan SUKMA.
“SUKMA kali ini sangat istimewa kerana beraksi di hadapan ahli keluarga, rakan – rakan serta rakyat Sarawak yang lain.
“Yang pasti, kami akan memberikan yang terbaik untuk menghadiahkan Sarawak kilauan pingat emas,” katanya. -TVS