BINTULU, 18 Julai: Tiga lelaki dipercayai mengedar dadah di pusat hiburan di sini diberkas pada jam 12.15 tengah malam, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, ketiga-tiga suspek berusia 31 hingga 43 tahun diberkas anggota Jabatan Narkotik di salah sebuah pusat hiburan jam 12.15 tengah malam tadi.
“Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dua paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis serbuk ekstasi anggaran berat 50 gram, satu paket plastik lutsinar di mana didalamnya mengandungi 59 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi anggaran berat 17.7 gram dan 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin anggaran berat lima gram.
“Hasil ujian saringan awal polis didapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal dipercayai dadah untuk pengedaran di sekitar kawasan pusat hiburan di Bintulu boleh digunakan untuk 50 orang penagih.
“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952 boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjarakan seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
“Manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)ADB 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun,” tegasnya.
Katanya, tangkapan itu merupakan salah satu usaha pihak polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu.-TVS