KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kelulusan terhadap usul penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak semalam diyakini akan membantu usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi wilayah itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak juga sudah bersedia sepenuhnya menguruskan pelabuhan gas asli dan minyak terbesar di Asia Tenggara itu.
Jelas beliau ini kerana mereka mempunyai perundangan sendiri.
“(Kita) berkeyakinan ia akan dapat dipertingkatkan lagi bagi memastikan pengurusan pelabuhan itu dilaksanakan dengan baik.
“Ini akan mempercepatkan pembangunan ekonomi kita, terutamanya kemudahan pelabuhan yang bukan sahaja untuk pengangkutan malah akan memberi kesan yang positif kepada pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu di Parlimen hari ini.
Awang Tengah mengulas kelulusan Rang Undang – undang Pengisytiharan Suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat semalam.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ia diluluskan setelah dibahasakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Saratok, Selangau, Lubok Antu, Batang Lupar, Baram dan Puncak Borneo. – TVS