KUCHING, 18 Julai: Penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan menjadikan semua pelabuhan di Sarawak kini milik kerajaan negeri, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dengan ini beliau menzahirkan tahniah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung usaha beliau dalam memastikan Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan negeri.
Menurut beliau Pelabuhan Bintulu kini menjadi pelabuhan negeri milik Sarawak berikutan pembentangan dan kelulusan Pengisytiharan Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Rang Undang-undang Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 yang memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu di Dewan Rakyat pada Rabu.
“Ini adalah peristiwa yang sangat bersejarah dan harus diraikan. Dengan pencapaian yang sangat penting ini, semua pelabuhan di negeri ini kini milik kita. Pada kesempatan ini juga, saya ingin menyatakan penghargaan mendalam kami kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan awal beliau untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada kita.
“Terima kasih juga kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana memudahkan kelulusan rang undang-undang ini dengan cepat serta kepada semua ahli parlimen yang telah menyokongnya,” kata Uggah menerusai satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, satu jawatankuasa di peringkat negeri dan persekutuan telah ditubuhkan untuk menyelia dan memudahkan pelaksanaan pemindahan pelabuhan, aset dan pengurusannya.
Menurutnya inisiatif jawatankuasa terbabit bertujuan untuk memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas atau terganggu oleh proses perubahan status.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan dan Timbalan Premier Sarawak serta ahli-ahli lain yang dilantik bertanggungjawab untuk memantau dan memudahkan pelaksanaan.
“Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Negeri Sarawak, dan terdiri daripada ahli-ahli.
“Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, dan terdiri daripada ahli-ahli lain yang dilantik,” ujar beliau.
Pada Rabu, dua rang undang-undang (RUU) berkaitan Pelabuhan Bintulu yang diluluskan oleh Dewan Rakyat iaitu, RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 . -TVS