KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kerajaan digesa untuk meningkatkan penyelidikan sebagai persiapan berdepan ancaman Kerintangan Antimikrob (AMR) yang berupaya mencetuskan pandemik kesihatan global.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen Suhaizan Kaiat berkata, langkah proaktif perlu dilaksanakan menuju Belanjawan 2025 dan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Dewan Rakyat: Kerajaan perlu bersedia hadapi malapetaka kesihatan global
“JKPK juga menggesa penyediaan dana yang mencukupi untuk langkah-langkah pencegahan di Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan langkah-langkah pengawalan pelepasan antibiotik yang tidak terkawal ke sungai, kawasan sampah dan lain-lain tempat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menyedari amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kemungkinan berlakunya AMR yang dikatakan kebal antibiotik.
Sehubungan beliau berkata kerajaan perlu membuat persiapan secukupnya bagi berdepan jangkaan krisis kesihatan global masa hadapan.
Sementara itu Suhaizan berkata JKPK juga memohon KKM dan kementerian lain untuk membentang kepada mereka berhubung strategi bersepadu untuk menangani cabaran itu.
“Kegagalan untuk bertindak akan menyebabkan orang ramai terpaksa berhadapan dengan risiko termasuk peningkatan kadar kematian, beban kewangan meningkat, menjejaskan keupayaan memerangi pandemik dan ancaman terhadap keselamatan dan keterjaminan makanan,” katanya.
Laporan WHO mengunjurkan jangkitan terkait AMR akan menyebabkan kematian 5.2 juta penduduk di Pasifik Barat untuk tempoh 2020-2030. -TVS