MIRI, 18 Julai: Borneo International Festival of Arts (BIFA) anjuran Universiti Curtin Miri adalah inisiatif untuk menjadikan Miri sebagai hab seni dan mempamerkan bakat tempatan sejajar dengan pembangunan bandar raya Miri.
Pengurus Hal Ehwal Korporat Universiti Curtin, Nicholas Leong Wai Man berkata penganjuran festival seni di peringkat antarabangsa merupakan kaeadah terbaik untuk mencapai matlamat itu.
“Antara objektif mengadakan BIFA adalah untuk mengubah Miri menjadi hab ekspresi artistik yang bertenaga kerana kita merasakan Miri adalah sebuah bandar yang semakin berkembang dan telah membangun dalam pelbagai cara dalam ekspresi dan budaya seni.
“Kita menjangka festival seni antarabangsa akan menjadi cara yang baik untuk mempromosikannya. Hasrat di sini ialah kita mahu menjadikannya sebagai acara tahunan dan ikonik untuk Miri mulai sekarang,” katanya pada sidang media BIFA di Pustaka Miri, hari ini.
Katanya, festival tersebut juga memenuhi beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dari SDG 8, Pekerjaan Yang Sesuai dan Pembangunan Ekonomi; SDG 10, Mengurangkan Ketidaksamaan dan SDG 11, Bandar dan Masyarakat Mampan.
BIFA akan mempamerkan pelbagai bentuk seni daripada seni tradisional dan moden, lukisan mural, persembahan tarian, pameran seni dan fotografi, seni digital moden serta bengkel dan aktiviti interaktif.
Festival ini akan diadakan selama tiga hari bermula 26 sehingga 28 Julai di Universiti Curtin dan Pustaka Negeri Sarawak Miri bermula 10 pagi sehingga 4 petang, dengan jangkaan 1,000 pengunjung bagi setiap hari.
Sempena sambutan ulang tahun Universiti Curtin yang ke-25, seramai 25 artis yang dibawa dalam festival ini dari pelbagai tempat selain Sarawak iaitu Sabah, Brunei dan Thailand.
Pihaknya merancang untuk mengadakan festival ini setiap tahun dan membawa lebih ramai peserta antarabangsa dari kawasan lain seperti Semenanjung Malaysia dan Kalimantan, selari dengan nama festival tersebut bertaraf antarabangsa. – TVS