MUKAH, 18 Julai: Pengusaha batik linut di sini terus mempromosi tekstil berasal dari Mukah menerusi reruai pameran dan gerai komuniti yang dibuka di Pesta Kaul 2024 sepanjang sembilan hari penganjurannya dari 13 hingga 21 Julai ini.
Pelbagai pakaian bermotifkan batik linut dipamer di gerai komuniti Kampung Tellian bagi menarik minat pengunjung terutamanya dari luar Sarawak untuk melihat sendiri keunikan fabrik masyarakat Melanau itu.
Menurut pengusahanya, Diana Rosina, 26, pihaknya kini sedang dalam usaha mempergiat usaha memperkenal batik linut ke pentas antarabangsa, sehubungan itu Pesta Kaul Mukah menjadi platform terbaik oleh kerana acara itu menyaksikan kehadiran pengunjung dari luar Sarawak termasuk pelancong luar negara.
“Bagi saya, kebanyakan pengunjung luar tidak mengenali dan biasa dengan batik linut. Usaha kami dengan membuka reruai pameran diharapkan dapat menarik minat orang luar untuk mencuba, membeli serta memahami apa itu batik linut.
“Ada antara mereka (pengunjung luar) tahu mengenai linut iaitu makanan berasal dari Sarawak, tetapi mereka tidak tahu akan kewujudannya yang diinovasikan kepada tekstil,” katanya ketika ditemui TVS di Pesta Kaul Mukah 2024 di Pantai Kala Dana, di sini, hari ini.
Diana berkata, gerai komunitinya menawarkan beberapa pakaian bermotifkan batik linut termasuk tudung, selendang dan getah rambut yang dijual dengan harga bermula dari RM15 hingga RM90.
Mengulas lanjut, Diana berkata, Pesta Kaul Mukah 2024 juga menjadi platform bagi pihaknya menarik minat golongan muda untuk menceburi industri pembuatan batik linut bagi memastikan tidak berlakunya ketandusan pelapis dalam mengusahakan produk tempatan Sarawak itu.
“Golongan muda tidak begitu minat dengan kerjaya seperti ini. Saya harap dengan adanya gerai komuniti ini dapat membuka mata generasi masa kini terutamanya meraka dari Mukah untuk belajar menghasilkan batik linut supaya seni warisan Sarawak ini tidak ditelan zaman.
“Kita juga ingin membuka mata mereka mengenai industri ini yang terbukti dapat menjana pendapatan lumayan,” katanya.