KUCHING, 18 Julai: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan susulan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pelabuhan Bintulu yang diluluskan.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan, kelulusan yang diberikan itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961, di Dewan Rakyat.
“Dua RUU tersebut adalah Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang pengisytiharan suatu kawasan dalam daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Rabu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri itu turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan ahli-ahli parlimen di atas sokongan yang diberikan bagi meluluskan RUU berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh rakan kabinet yang beri persetujuan berhubung hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengendalikan keseluruhan pelabuhan di Sarawak termasuk Pelabuhan Bintulu.
“Ini sesuai dengan peruntukan di bawah MA63, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak,”Kata Fadillah.
Menurutnya tiga jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas bagi memperhalusi perkara tersebut.
Ketiga-tiga jawatankuasa itu jelasnya,akan memperhalusi perkara-perkara berkaitan sumber manusia, aset-aset dan kewangan sebelum ia nya diwartakan.
Tambahnya lagi, tarikh kuat kuasa akan ditentukan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta serta penentuan tarikh kuat kuasa akan ditetapkan setelah segala penelitian, perbincangan dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dibuat sebelum dimuktamadkan dalam tahun 2024 ini. -TVS