MIRI, 18 Julai: Festival What About Kuching (WAK) Miri menjadi platform bagi mengumpulkan golongan muda serta peminat seni mempamerkan karya dan idea baharu mereka dalam meraikan komuniti, seni, budaya dan gaya hidup.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menyifatkan festival tersebut akan membantu memajukan industri kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya pasti apabila orang ramai mendengar tentang apa yang kita lakukan untuk tahun ini, maka kejayaan tahun ini akan membawa lebih ramai orang, memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai untuk datang dan menyertai kita.
“Ini kemudian menjadi acara penting untuk Miri. Itulah matlamat utama untuk menjadi acara yang menarik untuk Miri,” katanya pada majlis perasmian kalendar acara WAK Miri di sini, hari ini.
Sebastian dalam pada itu turut yakin program tersebut akan menarik ramai pengunjung terutama dari Brunei.
Festival WAK Miri akan diadakan selama empat hari bermula 1 sehingga 4 Ogos bertempat Coco Cabana.
Beliau memberitahu, program itu telah mendapat sokongan kementeriannya sejak ia dilancarkan pada 2017 di Kuching.
Atas kejayaannya itu penganjur mahu memperluas penganjurannya di bahagian lain termasuk Miri dan Sibu.
“Saya percaya dengan kejayaan WAK Miri pada tahun ini akan membawa lebih ramai orang, akan memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain untuk terlibat dengan aktiviti ini dan menjadikan sebagai acara pengenalan di Miri,” jelasnya.