KUALA LUMPUR, 18 Julai: Malaysia mengambil serius laporan Komuniti Sains Dunia yang meletakkan negara ini antara yang terdedah kepada bahan cemar baharu mikroplastik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara turut melaksanakan kajian sendiri untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai pencemaran berkenaan.
Jelas beliau, hasil kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati jejak mikroplastik ditemui dalam air adalah disebabkan oleh aktiviti antropogenik atau kegiatan manusia.
“Setakat ini had piawaian pematuhan berkaitan mikroplastik masih belum ditentukan lagi.
“Kajian yang lebih menyeluruh perlu dijalankan untuk menilai dari sudut impak kesihatan manusia yang terdedah kepada pencemaran mikroplastik.
“Kerjasama semua pemegang taruh seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan amatlah diperlukan supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih holistik,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan – Ledang) mengenai usaha yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengetengahkan isu pencemaran mikroplastik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Fadillah berkata NAHRIM telah menganjurkan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama pada 15 hingga 16 Julai lepas.
Tambah beliau, seminar itu berjaya mengumpulkan lebih 39 kertas persidangan yang membincangkan isu berkaitan mikroplastik.
Menurutnya, seminar itu tidah hanya tertumpu kepada sumber air dan persekitaran marin sahaja, namun impak kepada organisma lain seperti organisma akuatik, tanah dan pelbagai medium lagi. -TVS