KUALA LUMPUR, 18 Julai: Malaysia menjana sebanyak 15 peratus campuran bekalan tenaga elektriknya berasaskan sumber tenaga hidroelektrik, setakat Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peratusan penjanaan itu memberi gambaran kepada kerajaan mengenai potensi sumber tenaga boleh baharu tersebut.
Namun jelas beliau kerajaan tidak merancang untuk membina empangan hidro baharu kerana melibatkan proses yang rumit.
“Dalam hal ini, kerajaan menyedari potensi sumber tenaga daripada hidroelektrik, terutamanya daripada jana kuasa hidro kecil.
“Pendekatan kita tertumpu kepada hidro kecil disebabkan cabaran untuk memohon dan membangunkan suatu hidro yang baharu memerlukan kelulusan lebih 18 agensi dan bergantung kepada negeri,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (Perikatan Nasional -Parit) yang ingin tahu usaha kementerian memperluas penggunaan tenaga hidroelektrik bagi menggantikan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui.
Tambah beliau, kerajaan telah memperkenal dua program khusus buat pemaju tenaga boleh baharu yang berminat membangunkan jana kuasa bersumberkan hidro.
Program tersebut melibatkan Program Feed-in Tarif (FiT) di bawah SEDA Malaysia dengan kuota berjumlah 677 megawatt (MW) bagi pembangunan jana kuasa hidro kecil.
“Manakala bagi Program Low Carbon Power Generation (LCPG) di bawah Single Buyer kuota berjumlah 400 MW telah diperuntuk untuk pembangunan sumber-sumber bukan solar termasuk hidro menerusi mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA),” katanya. -TVS