KUCHING, 17 Julai: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mahu atlet yang mewakili Sarawak berjuang demi negeri dan bukannya untuk imbuhan semata-mata.
Abdul Karim berkata, Kerajaan Sarawak sudah tentu akan memberikan insentif kepada atlet-atlet yang berjaya membutirkan sebarang pingat, tetapi tidak mahu menekankan perkara berhubung imbuhan itu terlalu awal.
“Sudah tentu kita tidak akan melupakan sekiranya atlet kita memenangi sebarang pingat, akan ada insentif untuk mereka, tapi pada masa ini kita tidak mahu memberi penekanan kerana saya mahu atlet menang berpandukan kepada mereka berjuang untuk negeri dan bukannya untuk imbuhan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apreasiasi Penajaan Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA ke -21 Sarawak di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu diminta mengulas sekiranya atlet Sarawak yang beraksi pada Temasya Sukan Malaysia Sukma ke 21 Ogos ini berjaya membawa pulang sebarang pungutan pingat.
Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa bangga dengan persiapan Sarawak sebagai penganjur sukan Malaysia pada edisi kali ini.
“Saya amat kagum dan bangga dengan persiapan untuk membangunkan atlet kita dan menjadi penganjur yang terbaik bagi edisi SUKMA yang melibatkan 487 atau 488 acara sukan di sembilan bahagian di Sarawak.
“Memang agak berat dan mencabar kerana tidak pernah kita mengadakan acara sukan melibatkan beberapa venue yang jauh,” kata Abdul Karim lagi. -TVS