KUCHING, 17 Julai: Sebanyak 25 buah Rapidbus disediakan untuk kemudahan dalam penganjuran temasya Sukan Para SUKMA XXI 2024 yang diadakan pada 22 hingga 28 September 2024 nanti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, kemudahan yang disediakan ini adalah menjadi Official Transport Partner untuk temasya kali ini selain memberi keselesaan kepada atlet.
“Saya mengucapkan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Rapidbus yang begitu komited untuk menawarkan sebanyak 25 buah Bas Rapidbus untuk Atlet Para SUKMA nanti untuk memastikan keperluan dan keselesaan atlet kita,” katanya ketika berucap di  Majlis Penghargaan Penaja SUKMA DAN Para SUKMA XXI 2024 hari ini.
Tambahnya, selain kemudahan bas, Grab merupakan salah satu kemudahan yang menawarkan banyak penajaan khusus buat Para SUKMA 2024.
“Selain itu, Grab juga menawarkan penajaan seperti Food Voucher, Point dan Promo Codedan menjadi Official E-Hailing Partner bagi Para SUKMA XXI 2024,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kemudahan yang disediakan ini bagi menyediakan persekitaran yang kondusif, memberikan sokongan yang berkekalan dan memastikan setiap peserta merasai pengalaman yang bermakna.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.-TVS