KUCHING, 17 Julai: Harga emas hari ini naik ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM403 segram bagi emas 999 dengan kenaikan sebanyak RM 6 berbanding semalam (RM 397).
Menurut laman sesawang Public Gold Malaysia, harga emas 916 untuk hari ini pula adalah RM 383 segram.
Laman berkenaan turut memaparkan harga emas terendah pula direkodkan pada 4 Jan 2024 dengan harga RM 329 segram.
“Harga emas yang dipaparkan adalah harga emas Public Gold untuk hari ini. Harga ini berubah setiap hari pada jam 12.00 tengah malam mengikut harga emas dunia,” lapor laman terbabit.
Sementara itu, menurut laporan Reuters, harga emas hari ini naik ke paras tertinggi dalam sejarah, berikutan kenyataan terbaharu daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan jangkaan bahawa akan berlaku penurunan kadar faedah AS pada September.
Agensi terbabit juga mendedahkan kontrak semasa emas naik 0.1 peratus kepada AS$2,470.89 seaun atau RM371.31 satu gram setakat 0046 GMT, selepas mencapai rekod tertinggi AS$2,473.18 satu aun atau RM371.66 satu gram pada awal sesi.
Manakala, tinjauan TVS di media sosial Facebook mendapati harga emas yang ‘meroket’ hari ini mendapat perhatian warga net.
Ada antara mereka berpendapat kali ini berlaku kenaikan sebanyak 86 peratus sejak dua tahun iaitu sebelum ini hanya RM215 segram iaitu pada tahun 2022. -TVS