KUCHING, 17 Julai: Acara Ikonik Gawai Carnival Redeems 2024 (GCR 2024) perlu dinaik taraf menjadi satu festival yang akan menghimpunkan semua kaum di dunia sebagai platform bersama meraikan serta merasakan keunikan masing-masing.
Presiden Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS), Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, Kerajaan Sarawak hendaklah melihat perkara ini kerana bukan sahaja ia mampu menjadi salah satu acara besar di negeri ini tetapi turut membawa banyak manfaat kepada Sarawak.
Katanya, acara itu nanti bukan sahaja dapat menghimpunkan seluruh kaum yang terdapat di Sarawak tetapi turut mampu membawa semua suku kaum di dunia untuk datang bagi memupuk dan mencuba budaya tempatan, selain mereka dapat membawa budaya mereka ke dalam Sarawak.
“Jadi sudah tentu ini adalah acara ikonik ia mampu menjadi sangat besar dan sebenarnya kami mahu memberi cadangan kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf GCR 2024 ini nanti menjadi festival suku kaum dunia.
“Bukan sahaja kami membawa semua suku kaum Sarawak tetapi kami akan membawa semua suku kaum dunia datang ke Sarawak kerana kami ingin memupuk dan mencuba budaya tempatan serta kami juga ingin mempunyai pengalaman semasa festival tersebut dengan membawa budaya kaum dunia ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media dan Taklimat sempena 16th Gawai Carnival Redeems 2024 di Borneo Tribal Village Office, di Kuching pada Rabu.
Tambahnya, GCR 2024 bakal menjadi penanda aras bagi pihaknya memastikan penganjuran pada masa hadapan menjadi semakin baik dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Ujarnya lagi, ia termasuk dalam melihat kitaran kewangan yang boleh diperoleh sepanjang tiga hari penganjuran karnival pada tahun ini. – TVS