KUCHING, 17 Julai: Bertemakan ‘Kayak Adat Asal’, Gawai Carnival Redeems 2024 (GCR 2024) edisi yang ke-16 akan kembali dan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini dengan mempamerkan pelbagai aktiviti, persembahan dan pameran di Bidayuh Cultural Village, Redeems.
Presiden Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS), Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, karnival itu akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Premier Sarawak akan menghadiri majlis ini pada 27 Julai (Sabtu) untuk memeriahkan majlis makan malam dan itu adalah sorotan utama bagi penganjuran GCR 2024.
“Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung sepanjang karnival ini dan anda boleh lihat sendiri dalam tentatif program,” katanya ketika Sidang Media dan Taklimat sempena 16th Gawai Carnival Redeems 2024 di Borneo Tribal Village Office, di sini, pada Rabu.
Katanya, seramai 10,000 pengunjung disasarkan untuk hadir sepanjang penganjuran GCR 2024 berdasarkan jumlah pengunjung pada edisi lepas iaitu lebih 8,000 pengunjung. -TVS