KUALA LUMPUR, 17 Julai: Rang Undang-Undang (RUU) Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai lepas bersetuju untuk membentangkan RUU berkenaan dalam sidang Parlimen kali ini.
Jelas beliau, RUU berkenaan merangkumi dua fasal secara dengan pertama mengandungi tajuk ringkas dan memberi menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.
“Fasal 2 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 217 dan perintah-perintah yang dibuat di bawahnya disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri.
“RUU Pemansuhan ini hanya memfokuskan pemansuhan Akta 217 (dan) lain – lain perkara bersangkutan penukaran status Pelabuhan Bintulu dan implikasi akan dijelaskan dengan lebih terperinci menerusi pembentangan RUU Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 yang akan dilaksanakan dalam sesi pembentangan seterusnya,” katanya.
Tambah Anthony, kedua – dua RUU akan dikuatkuasa setelah keseluruhan perkara yang berkaitan rundingan dan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dimuktamadkan.
“(Ini) untuk pastikan kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terpelihara,” katanya.
Tambah Anthony, kerajaan juga komited dengan penggubalan Rang Undang-Undang berkenaan bagi melaksanakan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dan memastikan pembangunan dan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas.
Pembentangan itu disokong oleh Timbalan Menteri Pengakutan, Datuk Hasbi Habibollah dan dibahasakan oleh tujuh Ahli Parlimen.
Antara yang mengambil bahagian termasuklah Sri Aman, Saratok, Selangau, Lubok Antu, Batang Lupar, Baram dan Puncak Borneo.
Ketika ini sesi perbahasan sedang berlangsung.
Berita lanjut menyusul. -TVS.