KUALA LUMPUR, 17 Julai: Kerajaan perlu membuat persiapan secukupnya bagi berdepan jangkaan krisis kesihatan global masa hadapan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyedari amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kemungkinan berlakunya Antimicrobial Resistance (AMR) yang dikatakan kebal antibiotik.
Jelas beliau persiapan yang dimaksudkan termasuklah memiliki Dana Kesihatan Kebangsaan yang mencukupi.
“(Ini termasuk) dengan tidak meninggalkan sesiapa pun (ketika berlakunya) pandemik, jangan ada yang tercicir (menerima rawatan) terpaksa bergolak gadai untuk mendapatkan rawatan.
“Itu yang dimaksudkan persiapan negara untuk berdepan cabaran besar malapetaka ini, mustahak untuk kerajaan buat persiapan,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan – Pulai) yang ingin tahu persiapan kerajaan berdepan ancaman AMR pada 2050 seperti amaran WHO.
Menjawab soalan asal Suhaizan yang ingin tahu rancangan KKM untuk mewujudkan National Health Financing bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dan apakah cabaran yang dihadapi, Dzulkefly berkata, perkara itu merupakan salah satu agenda besar KKM dalam memodenkan sistem kesihatan negara.
“(Ini) selaras dengan Kertas Putih Kesihatan dan selari dengan agenda besar memodenkan sistem kesihatan negara ini, KKM telah pun menubuhkan satu pejabat atau bahagian khusus iaitu Pejabat Transformasi Kesihatan atau the Health Transformation Office (HTO) bagi merencana dan menggerakkan segala usaha reformasi pembiayaan kesihatan ini,” katanya. -TVS.