KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS mengumumkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Melaka telah menyertai parti itu.
Setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Muhammad Jailani Khamis yang juga ADUN Rembia telah diterima menjadi ahli mereka pada 10 Jun 2023.
Jelas Takiyuddin, tindakan wakil rakyat itu tidak boleh dianggap sebagai lompat parti.
“Ini kerana permohonan dibuat sebelum DUN Melaka meminda Akta Anti Lompat Parti pada Julai tahun lepas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu Muhammad Jailani berkata, beliau telah menulis surat rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO supaya memecatnya sebelum ini.
“Saya minta cara baik (untuk dipecat) tetapi digantungnya pula saya, seolah – olah you nikah dengan saya, you seksa saya, gantung tak bertali, pejabat dirampas, tendang keluar tepi jalan, bagaimana saaya hendak berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Mengenai persamaan kes ‘lompat parti’ dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Jailani berkata, kes mereka berbeza.
“Mereka pindah kerana untuk mendapatkan peruntukan tetapi saya pindah sebab ingin susah bersama rakyat,” katanya.
Sementara itu berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor. -TVS