MIRI, 16 Julai: Mangsa wanita yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Taman Awam di sini, pada 11 Julai lalu meninggal dunia selepas lima hari bertarung nyawa menerima rawatan di Hospital Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 32 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.40 tengah malam tadi.
“Dalam kejadian jam 3.46 petang itu berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 75 tahun dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 35 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kenderaan Mitsubishi Triton yang datang dari arah jalan pusat bandar telah hilang kawalan dan seterusnya telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan Perodua Viva yang sedang menghala ke Pusat bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesan kemalangan tersebut mengakibatkan kerosakan teruk bahagian hadapan kedua-dua kenderaan dan menyebabkan kecederaan luka pada bahagian badan pemandu dan penumpang kenderaan Perodua Viva manakala pemandu Mitsubishi Triton mengalami luka kecil pada bahagian dahi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.- TVS