KUALA LUMPUR, 16 Julai: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan kajian terperinci mengenai faktor banjir di Penampang dan Sipitang yang didakwa berpunca akibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah bagi mengenal pasti punca banjir di daerah-daerah berkenaan.
Jelas beliau, kajian oleh KKR dan JPS dilakukan walaupun simulasi banjir yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan pembinaan tidak memberi kesan signifikan di kawasan terlibat.
“Kalau benar, kita akan kenal pasti langkah untuk menyelesaikan masalah ini agar tidak berulang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai kemungkinan pembinaan LPB Sabah menjadi punca kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah.
Sementara itu Alexander Nanta menjelaskan, beberapa punca utama banjir di kawasan itu telah dikenal pasti temasuk taburan hujan luar biasa selain sistem perparitan di luar Jalan Persekutuan yang kurang sempurna.
Jelas beliau, kawasan-kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai mudah dilanda banjir sebelum kerja-kerja menaik taraf jalan dan pembinaan LPB Sabah bermula.
Sementara itu beliau turut memaklumkan daripada keseluruhan 35 pakej kerja bagi Fasa 1 LPB Sabah, sebanyak empat pakej kerja telah siap dan dibuka untuk pengguna jalan raya.
“Manakala baki 15 pakej sedang di peringkat pembinaan dan 16 pakej kerja pula di peringkat perolehan.
“Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor berjaya bagi kesemua 16 pakej kerja dalam perolehan dan dijadualkan dapat dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya. -TVS.