BANDAR SERI BEGAWAN (BRUNEI), 14 Julai: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menghadiri majlis makan malam bersama rombongan para pemimpin Sarawak di Restoran Tarindak D’Polo di Jerudong, Bandar Sri Begawan pada Ahad.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta isteri turut hadir pada majlis itu.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi.
Lawatan Tun Wan Junaidi dan isteri ke Brunei kali ini adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-78 Keputeraan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam lawatan ini, Tun Wan Junaidi dijadual menghadiri Majlis Istiadat Menghadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Indera Buana di Istana Nurul Iman pada pagi ini.
Beliau dijadual menghadap Sultan Hassanal Bolkiah pada 2 petang ini.
Pada Selasa, Tun Pehin Sri dan Toh Puan akan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersempena Hari Keputeraan Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Persantapan Diraja Istana Nurul Iman, malam ini.