KUCHING, 15 Julai: Seorang nelayan warga emas yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ditemui selamat di kawasan Pulau Burung, Sebuyau, hari ini.
Mangsa, Ong Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9.15 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa dibawa ke Jeti Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) sejurus selepas penemuannya.
“Mangsa kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi SAR hari kedua diteruskan bersama beberapa agensi termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Sarawak Coast Guard, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dengan penemuan mangsa, operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 10.40 pagi.
Terdahulu anak mangsa telah membuat laporan polis dengan mengatakan bahawa bapanya telah keluar untuk menangkap ikan pada Jumaat lalu sekitar jam 2.30 petang dengan menaiki bot miliknya di tepi sungai Kampung Demak Baru, di sini.
Berdasarkan pesanan ringkas yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada anaknya sekitar jam 5.02 petang hari yang sama, lokasi terakhir mangsa adalah di Muara Sebuyau, Simunjan. -TVS