KUCHING, 15 Julai: Sesi libat urus yang diadakan antara anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bukan sekadar membincangkan mengenai usaha meningkatkan kemampanan operasi, bahkan turut memantau kedudukan kewangan anak-anak syarikat.
Menurut Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah, sesi libat urus berkenaan adalah penting bagi mengenal pasti isu secara kolektif serta langkah strategik yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kemampanan anak-anak syarikat PUSAKA, selain sejajar dengan matlamat strategik organisasi berkenaan.
“Program juga tertumpu kepada peningkatan kualiti tadbir urus organisasi dengan memberi keutamaan kepada integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam mengurus operasi dan kewangan.
“Ini termasuk menangani ketidaktentuan ekonomi global yang diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19, seperti inflasi dan kekurangan permintaan terhadap produk kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sesi libat urus berkenaan turut menekankan kepentingan pelan strategik dalam memajukan transformasi mampan dalam industri perkayuan serta meningkatkan dayu maju ekonomi melalui rantaian nilai lebih tinggi.
“Tadbir urus korporat merangkumi tingkah laku beretika, akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan memainkan peranan penting dalam mencapai objektif syarikat serta mencegah konflik.
“Mekanisme tadbir urus yang berkesan termasuk Perancangan Korporat, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat memastikan pembuatan keputusan dan pengurusan risiko yang mantap, memanfaatkan pemegang saham serta pihak berkepentingan secara bersama,” ujarnya lagi.
Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa pengenalan Garis Panduan dan Polisi Pelaburan Negeri pada 2024 mewajibkan PUSAKA dan anak-anak syarikatnya untuk mematuhi peraturan pelaburan, meningkatkan ketelusan dan keyakinan pihak berkepentingan.
“Polisi berkenaan memerlukan anak syarikat untuk mengagihkan dividen sekurang-kurang 10 peratus daripada keuntungan bersih operasi bagi mengukuhkan kerjasama dalam mencapai objektif ekonomi Kerajaan Sarawak.
“PUSAKA juga mengambil bahagian dalam merangka Pelan Hala Tuju ke arah Kewangan Berdikari 2025-2030 yang memberi tumpuan kepada menilai keadaan kewangan, mewujudkan transformasi matlamat dan memastikan pelaksanaan yang berkesan,” jelasnya lanjut.
Pelan strategik berkenaan antara lain bertujuan mencapai kebebasan kewangan yang mampan dengan anak-anak syarikat menyediakan perancangan strategik serta belanjawan aliran tunai untuk menyokong objektif terbabit.
Ujar Zainal, libat urus berkenaan menandakan satu langkah positif ke arah membuat keputusan dan pencapaian untuk PUSAKA serta anak-anak syarikatnya. -TVS