KUCHING, 15 Julai: Persatuan Ulama Sarawak (ITTIHAD) menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang telah dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai 2024.
ITTIHAD dalam satu kenyataan hari ini berkata, sokongan ini dizahirkan untuk menyokong kesepakatan institusi Fatwa Negeri-Negeri yang selari dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-106.
“Disamping itu, pindaan ini pastinya akan dapat menjadi panduan rasmi dalam hal ehwal Islam di Malaysia demi mencapai kesatuan ummah pada setiap masa.
“Aliran yang bersifat terbuka dan fleksibel terhadap warisan adat istiadat umat Islam serta toleransi dalam amalan-amalan ibadat ini amat jauh dan terhindar dari fahaman ekstremisme dan radikal yang membawa kepada perpecahan ummah,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 ini merupakan agenda penting dalam memperkukuh dan menjamin perpaduan masyarakat Islam di Malaysia dan ia perlu dilaksanakan mengikut tafsiran dan perincian yang telah diperuntukkan.
Fasal 3 RUU tersebut memperuntukkan bahawa takrifan “Ahli Sunnah Waljamaah” adalah golongan yang berpegang dengan Al-Quran dan Sunah berdasarkan panduan aliran akidah Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah, fiqh mazhab Syafie atau mengikut keadaan tertentu mana-mana satu mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, dan panduan tasawwuf mengikut aliran Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. -TVS