KUALA LUMPUR, 15 Julai: Kerajaan memperuntuk lebih RM451 juta bagi membekalkan kelengkapan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada pelajar sekolah di seluruh negara, pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, lebih 69,000 unit komputer riba telah diedar kepada pelajar-pelajar di seluruh negara bagi merealisasikan Dasar Pendidikan Digital Negara.
Jelas pada tahun ini, sebanyak 3,885 sekolah di kawasan bandar dan luar bandar mendapat manfaat menerusi agihan 69,604 unit komputer riba.
“Pada 2023, sebanyak 68,056 unit diedarkan kepada 3,455 sekolah di bandar dan luar bandar dengan kos projek lebih RM424 juta,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (Gabungan Parti Sarawak-Igan) mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan digital di Sarawak.
Tambah Kah Woh bagi menyokong dasar itu di Sarawak, KPM juga telah menambah baik perkhidmatan internet dengan menaik taraf teknologi fiber daripada 100 mbps kepada 300 mbps.
Katanya, ia membabitkan perolehan baharu perkhidmatan internet bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025.
“Bagi sekolah yang menggunakan teknologi satelit pula, kelajuan ditambah dari 30 mbps kepada 100 mbps dengan penambahbaikan kuota dari 100gb ke 1 Terabyte (TB),” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan seramai 19 guru di Sarawak telah dilantik sebagai Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD).
Menurutnya, GPGD Sarawak telah memberi bimbingan kepada 8,011 guru dari Sarawak mengenai pendidikan digital. -TVS