KUALA LUMPUR, 15 Julai: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan bermula hari ini hingga 14 Julai 2027.
Perlantikan itu adalah atas cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Awang Bemee yang juga Penasihat Undang-Undang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Sementara itu Awang Bemee menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan besar kepada Sarawak.
“Sebagai anak Sarawak, ini satu pengiktirafan untuk (saya) berkhidmat kepada negara.
“Saya akan memberi khidmat terbaik untuk negara,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah itu.
Awang Bemee, 65, memulakan karier sebagai pengamal undang – undang di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984 dan berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah termasuk di Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga memegang beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.
Dalam bidang politik, Awang Bemee pernah dipilih sebagai ADUN Nangka selama tiga penggal bermula pada 1996 hingga 2011. -TVS.