SRI AMAN, 15 Julai: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman mengadakan latihan pasukan selama dua hari berakhir şemalam bagi menguji ketahanan mental dan fizikal semua anggotanya.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Leftenan (PA) Kamal Bujang berkata, latihan diadakan mulai 13 hingga 14 Julai bertempat di padang kawad Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) agensi itu.
“Sebanyak 29 anggota terlibat dalam latihan ini yang dikendalikan Sarjan Mejar (PA) Andrea Manggi. Latihan berpasukan ini juga dilaksana bagi mempertingkatkan tahap kemahiran anggota mengendalikan sesuatu kes atau operasi di kawasan pentadbiran APM Sri Aman,” katanya.
Katanya, bagi meningkatkan kemahiran, anggota juga mengikuti latihan jalan lasak, mengendalikan peralatan operasi dan menyelimut usungan, selain menyertai latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta melakukan ulang kaji mengenai ilmu kemahiran asas balutan.
“Latihan ini telah berjalan dengan lancar dan selamat tanpa berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan dalam kalangan anggota APM Daerah Sri Aman yang terlibat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap, anggota APM Daerah Sri Aman mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari dalam latihan berpasukan bagi mengendali kes kecemasan yang berlaku. -TVS


