KUCHING, 14 Julai: Senaman yoga merupakan senaman yang memberikan keseimbangan selain menyatukan kesihatan fizikal, minda serta kolerasi positif antara manusia dan alam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, program senaman yoga yang dianjurkan bersempena Hari Yoga Antarabangsa Ke-10 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan wadah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelbagai manfaat apabila mengamalkan yoga.
“Bagi saya, minda yang sihat amat penting. Apabila sesebuah negara mempunyai visi untuk lebih maju ke hadapan, sudah tentu kita memerlukan rakyat yang berkebolehan tinggi. Namun, kita memerlukan individu berkebolehan tinggi yang sihat fizikal serta mindanya.
“Meskipun anda memiliki latar belakang pendidikan yang baik, namun tanpa minda yang sihat, ia tidak akan mendatangkan kebaikan kerana semuanya perlu keseimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Hari Yoga Antarabangsa Ke-10 PBB di pekarangan Garden Park MBKS pada Ahad.
Seramai 100 pengamal yoga dan orang awam menyertai program senaman yoga yang dianjurkan bersempena Hari Yoga Antarabangsa Ke-10 PBB yang disambut di seluruh dunia. -TVS